Muhammad Nur Azfar Fikri.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan perubahan dalam senarai skuad Malaysia bawah 22 tahun bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia B-23 (B23) di Mongolia.

Ini kerana seorang pemain dari Terengganu II, Muhammad Nur Azfar Fikri telah dipanggil ke kem latihan pusat fasa 2 bermula hari ini bagi menggantikan tempat Ahmad Aysar Hadi dari JDT II.

Aysar terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

Sebelum ini, seramai25 pemain telah menjalani latihan dibawah kendalian ketua jurulatih, Brad Maloney bermula 4 Oktober lalu sebagai persiapan menghadapi saingan Kumpulan J,
Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bertemu Laos, Mongolia dan Thailand di Ulaanbaatar, Mongolia dari 25 hingga 31 Oktober 2021.
Daripada 24 pemain yang telah mengikut kem latihan pusat Fasa 1 selama sembilan hari dari 30 Ogos hingga 7 September 2021, Maloney mengekalkan seramai 16 pemain bagi meneruskan kem latihan pusat bagi Fasa 2 ini.

Mereka yang dikekalkan itu terdiri daripada tiga penjaga gol iaitu Firdaus Irman Fadhil, Azri Ab Ghani dan Syed Nasrulhaq Syed Bidin; Azrin Afiq Rusmini, Faiz Amer Runnizar, Fahmi Daniel Zaaim, Khairi Suffian Khaineyusri, T. Saravanan, Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan, Firdaus Ramli, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Chia Ruo Han, Alif Abdul Mutalib, Shafi Azswad Sapari, Syafik Ismail dan Azhad Harraz Arman.

Empat lagi pemain terdiri daripada mereka yang disenaraikan pada Fasa 1 sebelum ini tetapi tidak dapat menyertainya ketika itu iaitu penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Hairiey Hakim Mamat, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri dan Aiman Afif Md Afizul.

Baki lima pemain baharu yang dipanggil bagi melengkapkan senarai ke kem latihan pusat Fasa 2 ini ialah Ahmad Zikri Mohd Khalili, Aidil Azuan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Azam Azmi Murad dan K. Thivandaran.

Skuad kendalian Maloney akan menjalani latihan pusat Fasa 2 ini di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sebelum skuad akhir 23 pemain dijadual terbang ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober 2021.

Empat pemain skuad senior yang selesai tugasan antarabangsa ketika dua perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan minggu lepas turut menyertai pasukan iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi, Hakimi Abdullah, Quentin Cheng dan Luqman Hakim Samsudin. – MalaysiaGazette