Sultan Johor

JOHOR BAHRU – Sultan Johor bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab melakukan kecuaian dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Sultan Ibrahim  Iskandar mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes pulau berkenaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memaklumkan kerajaan negeri  memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas Kerajaan Persekutuan.

Penubuhan pasukan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa berkenaan kes Pulau Batu Puteh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast