Seorang ibu memeluk anaknya di perkarangan kawasan UM.

 

KUALA LUMPUR – Seramai 800 pelajar Universiti Malaya mula mendaftar secara fizikal di Universiti Malaya hari ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Profesor Dr. Sabri Musa, sesi pendaftaran kolej kediaman norma baharu pada sesi akademik kali ini berlangsung secara fizikal selama tiga hari dari 15 hingga 17 Oktober 2021 melibatkan pelajar dari semua tahun pengajian.

Jumlah keseluruhan pelajar yang memohon kebenaran kembali ke kampus adalah 9,426 orang dan daripada jumlah ini, 8,141 pelajar akan mendaftar ke di kolej kediaman dan dari jumlah tersebut, hampir 4,000 pelajar adalah pelajar baharu ijazah sarjana muda sesi kemasukan 2021/2022.

”Semua pelajar diwajibkan hadir ke Point of Assembly (POA) bagi menjalani proses saringan kesihatan dan lapor diri sebelum memasuki kolej kediaman yang telah ditawarkan.

Tiga POA yang telah ditetapkan iaitu di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Dewan Tunku Canselor dan Padang Palapes.

”Pendaftaran pelajar setakat ini berjalan lancar dan pihak Universiti telah menetapkan bahawa hanya pelajar bersama dua orang ibu bapa/penjaga yang telah lengkap dos vaksin Covid-19 dan memenuhi tempoh keberkesanan vaksinasi (yang ditetapkan) dibenarkan untuk hadir ke universiti.

“Semua pelajar yang mendaftar perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang dibekalkan di POA,” katanya.

Beliau juga berharap pelajar yang telah kembali ke kolej kediaman terus mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 di kampus. – MalaysiaGazette