Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Khidmat Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seramai 543 orang akan disambung bermula 1 Januari depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkhidmatan mereka yang terlibat dalam pengurusan kampung itu dijadualkan tamat 31 Disember.

Katanya, penyambungan perkhidmatan untuk penggal 2022/2023 itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang pada Rabu lalu

“Terdapat 543 JPKK di seluruh Pahang dan setiap JPKK dianggotai masing-masing seorang Pengerusi dan Setiausaha yang dilantik dalam kalangan kepemimpinan UMNO setempat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Wan Rosdy, pengumuman awal itu akan memberi kelegaan dan kepastian tentang kedudukan mereka yang terbabit.

Jelasnya, pada penggal semasa Pengerusi dan Ahli JPKK telah menunjukkan komitmen tinggi serta keberkesanan dalam melaksanakan peranan masing-masing dan beliau berharap mereka yang terpilih dapat meningkatkan lagi komitmen masing-masing.

“Ini agar rakyat yang diwakili di kampung masing-masing mendapat perkhidmatan sebaik-baiknya,” katanya. -MalaysiaGazette