Bantuan Kehilangan Pendapatan BKP RM500 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan tujuh negeri dan dua wilayah beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Peralihan daripada Fasa 3 ke Fasa 4 membabitkan Melaka dan Lembah Klang ( Putrajaya,  Kuala Lumpur, Selangor).

Manakala Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada fasa 2 kepada fasa 3.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, secara puratanya Malaysia secara keseluruhannya telah beralih ke Fasa 3 PPN.

“Peralihan fasa bagi negeri-negeri ini berkuatkuasa 18 Oktober” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

Peralihan itu dibuat berdasarkan kepada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah negara mencatatkan bilangan kes dibawah 10,000 kes sehari bagi dua minggu berturut-turut.

Malah menurutnya,  kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat,” tambahnya.

Selain itu, Ismail turut mengumumkan operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dibenarkan beroperasi penuh 24 jam mulai esok.

Kenderaan e-hailing turut dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk mulai esok bagi semua fasa PPN.

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara dari luar negara dikurangkan bermula Isnin ini.

“Tempoh kuarantin 7 hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap dan empoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada/tidak lengkap vaksin.

“Pengurangan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak Rapat juga berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021 iaitu tempoh kuarantin 7 hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin, dan tempoh kuarantin 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada/tidak lengkap divaksin,” jelas Ismail Sabri lagi.

Pembukaan perkhidmatan pusat siber dan kafe juga dilonggarkan dengan 80 peratus bagi negeri Fasa 3 dan kapasiti penuh bagi Fasa 4.

Dalam pada itu, jemaah  dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan
memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara.

Kebenaran ini berkuatkuasa 18 Oktober 2021.

Manakala Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) dibenarkan di negeri-negeri PPN fasa 3 secara bersemuka, melibatkan individu yang telah lengkap divaksin berkuatkuasa 18 Oktober 2021 dengan syarat-syarat melaksanakan ujian saringan Covid-19 (pre-event test) melalui kaedah saliva test atau RTK-Antigen, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kapasiti 50% mengikut ruang – MalaysiaGazette