Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula pasport buat sementara bagi membolehkannya ke Singapura dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Rosmah yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak mahu pergi ke Singapura bagi menemani anak perempuannya, Nooryana Najwa yang sedang sarat mengandung yang akan melahirkan anak kedua dalam tempoh terdekat.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohanan Rosmah dengan syarat pasport itu dipulangkan kembali pada atau sebelum 6 Disember tahun ini.

“Pemohon boleh hanya keluar ke Singapura dari 22 Oktober dan harus pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.

“Mahkamah akan memulangkan pasport untuk sementara kepada permohonan hari ini, 15 Oktober, saya ulang balik ya,” katanya ketika prosiding pagi ini.

Sebelum ini, peguam mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh berkata, Nooryana ketika ini sudah sarat mengandung lapan bulan dan anak guamnya perlu berada di sisi anaknya.

Beliau memohon supaya pasport anak guamnya dilepaskan sementara dan akan dipulangkan pada 24 November ini.

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dengan syarat pemohon tidak boleh mengganggu tarikh perbicaraan dan memohon garis masa yang ditetapkan.

Perbicaraan di hadapan Mohamed Zaini bersambung 21 Oktober ini dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah. -MalaysiaGazette