Warga emas dilaporkan maut selepas dilanggar motosikal di Jalan Koskan, Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut dilanggar sebuah motosikal dalam satu kejadian di Jalan Koskan, Hulu Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata,  laporan mengenai kejadian tersebut diterima sekitar jam 8.30 pagi.

“Kemalangan berlaku ketika sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 24 tahun sedang dalam perjalanan dari Sungai Choh menuju ke Subang bertembung dengan pejalan kaki yang cuba melintas jalan.

“Lelaki warga tempatan berusia 77 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arsad, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi proses bedah siasat.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta tampil untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette