KUALA LUMPUR – Aliran trafik di semua lebuh raya utama negara sekali lagi merekodkan peningkatan drastik dalam tempoh singkat iaitu sebanyak 4.27 juta kenderaan sehari.
Setakat 13 Oktober lalu, jumlah aliran kenderaan yang direkodkan berikutan kebenaran rentas negeri bermula Isnin lalu sebanyak 3.802 juta kenderaan sehari.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata, berdasarkan data, sehingga semalam, tiga lebuh raya utama di negara ini mencatatkan peningkatan aliran kenderaan sehari.
Katanya, aliran yang menunjukkan trend peningkatan dan hampir menyamai trend aliran trafik sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020 (4.5 juta sehari).
“Di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), aliran trafik meningkat kepada 1,221,304 kenderaan sehari diikuti Lebuhraya KL-Karak merekodkan sebanyak 143,024 kenderaan sehari.
“Manakala aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 pula merekodkan sebanyak 53,159 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru Mohd Nadzri berkata, perbandingan jumlah kenderaan di setiap plaza tol semalam berbanding Jumaat lepassebelum pergerakan rentas negeri di Plaza Tol Jalan Duta berlaku peningkatan sebanyak 25 peratus iaitu sebanyak 60,831 kenderaan berbanding 48,775 kenderaan sebelumnya.
Malah katanya, di Plaza Tol Sungai Besi berlaku peningkatan aliran trafik sebanyak 30 peratus iaitu 40,721 kenderaan berbanding 31,231 kenderaan sebelumnya.
“Manakala situasi aliran trafik di Plaza Tol Skudai di Selatan pula menyaksikan kenaikan 41 peratus iaitu 20,578 kenderaan berbanding 14,645 kenderaan sebelumnya.
“Situasi sama berlaku di Plaza Tol Juru, di Pulau Pinang apabila berlaku peningkatan 30 peratus aliran trafik iaitu 44,616 kenderaan berbanding 34,291 kenderaan sebelumnya.
“Di Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur, merekodkan peningkatan agak ketara berbanding plaza tol lebuh raya utama lain iaitu sebanyak 142 peratus bersamaan 82,368 kenderaan berbanding 34,081 kenderaan sebelumnya,” ujarnya.
Turut menunjukkan kenaikan aliran trafik adalah di Plaza Tol Bentong, Pahang iaitu 85 peratus bersamaan 60,656 kenderaan berbanding 32,814 kenderaan sebelumnya
Ujarnya lagi, di Plaza Tol Karak turut menunjukkan peningkatan trafik sbanyak 62 peratus iaitu 14,751 kenderaan berbanding 9,105 kenderaan sebelumnya.
“Hasil pemantauan kami di lapangan dapat merumuskan berlaku aliran trafik yang tinggi di sektor Timur sejak kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan.
“Namun begitu tiada kesesakan luar biasa dikesan dan aliran kenderaan adalah lancar buat masa ini.
“Pun begitu tindakan pemantauan dan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Op Covid-19 akan terus dijalankan oleh semua petugas JSPT di lapangan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan koordinasi bersama polis pasukan kontinjen negeri dan daerah bagi menyuraikan aliran diperhebatkan lagi untuk menentukan tiada sebarang kesesakan luar biasa berlaku di kesemua lebuhraya utama negara.
Menurut beliau, aliran juga dikesan meningkat di Sektor Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran.
“Rondaan dan tindakan penguatkuasaan secara Total Enforcement dilaksanakan bagi memberikan impak tinggi kepada pengguna jalanraya supaya mematuhi peraturan lalulintas,” tegas beliau.-MalaysiaGazette