Foto Instagram Elyana.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Elyana menunjukkan peningkatan kesihatan selepas menjalani rawatan kemoterepi sesi kedua sejak minggu lalu apabila berat badannya naik 15 kilogram (kg).

“Daripada 35 kilogram (kg), sekarang dah 50kg. Alhamdulillah.

“Terima kasih untuk doa yang tidak pernah putus daripada keluarga dan anda semua. Saya sayang anda semua,” tulisnya pada ruangan kapsyen dalam Instagram sambil meluahkan rasa syukur.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, baru sahaja selesai menjalani kemoterapi sesi kedua bagi merawat kanser limfoma yang dihidapinya.

Elyana sebelum ini pernah meluahkan kebimbangan dan kebuntuan mengenai kos sesi kedua rawatan kemoterapi yang menelan belanja hingga RM250,000 bagi keseluruhan lima sesi yang perlu dilaluinya bermula minggu lalu.

Pada Julai lalu, Elyana telah menjalani rawatan radioterapi di bahagian hati dan pinggul bagi mengubati penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.

Sebulan sebelum itu, Elyana dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi berikutan penyakit kanser limfoma yang dihadapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain.

Penyanyi lagu Kalis Rindu itu menghidap kanser limfoma sejak 2012 membuat pendedahan mengenai penyakitnya pada 2017 ketika tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat.

Pelakon filem Dunia Baru The Movie dan Dukun itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada tahun 2010.

Mereka dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette