KLUANG – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan seekor gajah dalam kemalangan di Jalan Pinang, menghala ke Bukit Tongkat, di sini, semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ismail Daud, 37 dalam insiden pukul 9.50 malam semalam.

Komander Operasi Penolong Kanan Bomba II, Abd. Rahim Razali berkata, tiga lagi penumpang kereta itu mengalami kecederaan.

Katanya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dengan kekuatan lapan anggota dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dan tiga mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Mereka telah diserahkan kepada pihak ambulans KKM sebelum PKO tiba di lokasi.

“PKO bertindak mengeluarkan seorang mangsa di bahagian tempat duduk pemandu dan mangsa yang dikenali sebagai Ismail Daud, 37, telah disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya menerusi kenyataan media hari ini. – MalaysiaGazette