uncle kentang
Kuan Chee Heng

KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng bersumpah bahawa segala duit sumbangan yang diterimanya adalah daripada sumber yang halal.

Chee Heng atau lebih dikenali dengan jolokan Uncle Kentang membuat pengakuan itu selepas dituduh segelintir warganet bahawa beliau menjalankan program kebajikan daripada hasil sumbangan yang salah di sisi undang-undang negara.

“Saya dengan ini bersumpah dan mengaku bahawa duit sumbangan yang saya terima adalah halal dan tidak lain dari yang tak halal,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Beliau turut menyatakan kekesalannya apabila usaha kebajikan selama ini dipertikaikan oleh beberapa pihak.

“Saya penat tetapi saya tetap jalankan kerja bantu mereka yang sakit, susah dan lapar.

“Sedih bila orang yang tak buat kerja mempertikaikan usaha-usaha yang kita sama lakukan.”

Sebelum ini tular ciapan pada akaun Twitter yang mendakwa aktiviti kebajikan dilakukan Uncle Kentang adalah bersumberkan hasil yang haram, sekali gus menimbulkan bualan netizen berkenaan isu tersebut.

Pada 15 September lalu, Kuan Chee menerima Anugerah Komanwel Points of Light daripada Ratu England yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay yang mewakili Ratu Elizabeth II.

Beliau yang menjadi penerima keempat dalam negara diberi anugerah itu sebagai tanda pengiktirafan atas usaha kebajikan amal yang dilakukannya kepada komuniti masyarakat. – MalaysiaGazette