Penipuan dalam talian menyebabkan ramai yang terpaksa menanggung kerugian. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,666 aduan telah diterima melibatkan penipuan jualan dalam talian bermula Januari hingga Oktober lalu.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, daripada jumlah itu, sebanyak 5,906 aduan melibatkan pelanggan yang tidak menerima barang atau perkhidmatan yang dilanggan.

Jelasnya, semua aduan pengguna diteliti bagi mengenalpasti sama ada berlaku kesalahan di bawah bidang kuasa yang dinyatakan seterusnya mengambil tindakan yang tegas terhadap peniaga atas talian yang melanggar perundangan dan peraturan yang dikuat kuasakan.

“Sebanyak 1,696 aduan berkenaan barang/perkhidmatan yang diterima tidak seperti ditawarkan, harga barang/perkhidmatan mengelirukan (324), barang tiruan dalam talian (152), cetak rompak dalam talian (30), skim piramid dalam talian (16) dan lain-lain (1,542),” katanya menerusi jawapan bagi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

Kata Alexander, KPDNHEP selain meneruskan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga turut membuat pemeriksaan dan pemantauan di premis pengendali jualan dalam talian.

Tambahya, kementerian itu turut meningkatkan kerjasama dengan pembekal perkhidmatan internet dan syarikat telekomunikasi.

“Bekerjasaama dengan pengendali jualan dalam talian untuk sama-sama membantu membuat pemakluman atau notis amaran kepada pengguna atau pembeli supaya berhati-hati,” jelasnya.-MalaysiaGazette