Penduduk London berjalan di tempat awam ketika sekatan pergerakan dilonggarkan. foto Xinhua

LONDON – Bekas Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat, Scott Gottlieb meminta penyelidikan segera dilakukan terhadap mutasi varian Delta – yang dikenali sebagai Delta Plus – berikutan lonjakan kes Covid-19 di Britain.

“Kami memerlukan penyelidikan segera untuk mengetahui apakah Delta Plus ini lebih mudah berjangkit, mempunyai penghindaran sebahagian kekebalan,” kata Dr Gottlieb dalam tweetnya.

Jelas beliau, walaupun tidak ada petunjuk yang jelas bahawa mutasi varian ini lebih mudah disebarkan, tetapi penyelidikan segera perlu dilaksanakan untuk mengetahui ciri-cirinya dan varian baharu yang lain.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Britain melaporkan sebanyak 45,140 kes baharu pada Ahad, lonjakan harian tertinggi sejak pertengahan Julai – ketika Perdana Menteri, Boris Johnson melonggarkan sekatan pergerakan.

Kes kematian mingguan akibat virus telah meningkat 800 untuk setiap hari sejak enam minggu lalu, lebih tinggi daripada di negara-negara barat Eropah, menurut laporan Bloomberg.

Setakat ini, Britain telah mencatatkan hampir 140,000 kematian yang berkaitan dengan Covid-19.

Strain Delta Plus termasuk mutasi K417N, telah menimbulkan kebimbangan kerana disokong oleh varian Beta yang dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan semula.

Pada akhir Jun lalu, penyelidik Britain mengatakan belum ada bukti yang menunjukkan mutasi tambahan varian Delta lebih membimbangkan. – Bloomberg