Gambar Hiasan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di perkampungan Orang Asli, Pos Betau, Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang selama 14 hari bermula Rabu ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan jangkitan Covid-19 di lokaliti itu.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Selain itu, tiada pelanjutan PKPD.

“PKPD di ladang dan kilang sawit RMDC Sdn. Bhd., Bukit Koman, Mukim Gali, Raub, Pahang serta Kampung Pasir Kelang, Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan pula akan ditamatkan mengikut jadual esok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette