KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS) hari ini mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera menyekat penjualan arak jenama Timah dari pasaran tempatan.
Presidennya, Faizan Mohd Nor berkata, publisiti dan penjualan arak berkenaan dilihat seakan-akan menghina agama Islam terutamanya di negara ini.
Mereka mendakwa penggunaan nama Timah bunyinya seakan menghina anak perempuan Nabi Muhammad SAW bernama Fatimah.
Justeru PEKEMAS menganggap tindakan pihak yang menjualnya biadab dan mahu penjualannya disekat serta merta sehingga satu siasatan lebih mendalam dilakukan terhadap arak jenama Timah itu.
“Kami terpanggil hari ini dan membuat laporan polis kerana mahu kertas siasatan dibuka mengenai isu itu dengan memanggil pihak terbabit termasuklah individu yang berperanan sebagai pengarah sebuah syarikat yang bertanggungjawab menjual arak tersebut (Syarikat Winnepeg Corporation, Gilbert Yeo dan Kenny Teo).
“Selain itu, kementerian berkaitan yang memberi kelulusan penjualan serta penggunaan nama arak berkenaan yang mengelirukan itu perlu juga dipanggil pihak berkuasa dan disiasat segera untuk membantu siasatan,” katanya selepas hadir membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini hari ini.
Menurut Faizan, menteri agama yang lantang bercakap tentang pengharaman arak di Malaysia juga patut dipanggil untuk menjawab isu yang sama.
Tambahnya, pihaknya tidak pasti apa sebenarnya motif pihak terbabit menggunakan nama Timah serta melancarkannya pada 7 Oktober lalu dalam keadaan umat Islam mahu menyambut Maulidur Rasul esok.
Menurut Faizan, perkara itu tidak boleh dibiarkan dan perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa memandangkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan selain menjaga sensitiviti muslim.
“Tuntutan kami kepada polis adalah supaya segera menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas semua pihak yang terbabit dengan isu arak berjenama Timah ini.
“PEKEMAS khuatir sekiranya penjualannya tetap diteruskan, ia pasti akan mengundang remaja Islam membeli minuman keras berkenaan sekali gus mengakibatkan pelbagai masalah sosial.
“Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil dalam masa terdekat ini, saya yakin lebih banyak NGO akan tampil untuk membuat bantahan besar-besaran mendesak tindakan tegas kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan laporan polis daripada NGO berkenaan.
Terdahulu, dalam isu yang sama, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut mendesak kerajaan supaya mengharamkan segera penjualan arak jenama Timah keluaran Malaysia di pasaran negara ini.
Mereka turut mengkritik iklan dan promosi arak berkenaan yang dianggapt biadap kerana terdapat penampilan imej lelaki berkopiah dengan janggut panjang seolah-olah memaparkan individu berimej agama Islam.
Malah, Dewan Pemuda Pas pula mendesak kerajaan supaya menutup segera operasi kilang arak Timah itu tanpa sebarang kompromi.-MalaysiaGazette