QUITO – Seramai 11 mangsa dilaporkan maut manakala lebih 12 cedera dalam sebuah kemalangan jalan raya di Colta, Chimborazo di Ecuador semalam.
Agensi melaporkan, kejadian itu telah dilaporkan dalam talian kecemasan dikenali sebagai ECU 911.
Ia dianggap antara kejadian terburuk di negara itu apabila sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung di daerah Juan de Velasco Pangor semasa dalam perjalanan menggunakan Lebuh Raya Panamericana Sur.
Kata kenyataan ECU, bas berkenaan telah melencong sebelum terbabas ke dalam gaung sedalam 100 meter.
“Bas itu sebenarnya dalam perjalanan ke antara bandar barat daya Guayaquil dan tengah Ambato.
“Pasukan penyelamat ECU 911 dan beberapa anggota teknikal termasuk ambulans dikerahkan untuk membantu mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut jurucakap bomba, Manuel Valente, pihaknya mengambil masa lama untuk mengeluarkan penumpang tersepit dalam insiden tersebut. – Agensi