Gambar hiasan.

KUANTAN – Akibat terpedaya dengan pakej iklan menawarkan keuntungan pulangan modal daripada syarikat antarabangsa, seorang kontraktor di Kuala Lipis dekat sini kerugian sebanyak RM20, 504.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa pada mulanya berminat dengan pakej  dari satu syarikat yang kononnya bekerjasama dari pihak Amazon.

“Bahkan mangsa menjadi rakan kongsi pelaburan tersebut telah melibatkan diri dalam pelaburan itu hingga pada 18 Oktober 2021.

“Namun pengadu berasa terpedaya oleh syarikat tersebut apabila dipaksa membuat pembayaran kepada produk yang diiklankan secara paksaan.

“Mangsa diberitahu jika pengadu tidak membuat pembayaran, pengadu tidak akan dapat jumlah keuntungan hasil dari pelaburan bersama syarikat tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, mangsa berusia 22 tahun itu telah membuat transaksi ke dalam tiga penama akaun yang berbeza.

Bagaimanapun selepas menyedari dia tertipu, mangsa akhirnya membuat laporan di Ibupejabat Polis Kuala Lipis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” kata Mohd Wazir.- MalaysiaGazette