Osman Cheya Kutty bukan sahaja menawarkan kambing dengan harga RM1 seekor, malah turut mencarumkan RM50 di Tabung Haji bagi bayi bertuah.

JOHOR BAHRU – Osman Goat Farm di Kangkar Tebrau, di sini, terkenal kerana menjual kambing akikah pada harga RM1 seekor.

Bagaimanapun, keistimewaan itu diberikan kepada bayi yang lahir pada 12 Rabiul Awal bersamaan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, hari ini.

Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, menerusi penganjuran program Kambing Aqiqah RM1 itu, syarikat dapat membantu golongan kurang berkemampuan melaksanakan ibadah itu.

Katanya, program tersebut mula dilaksanakan pada 2011 mendapat sambutan baik dan banyak pihak memintanya supaya ia diterus dan diperluaskan di negeri lain

“InsyaAllah, kami di Osman Goat Farm memang ada cadangan untuk perluaskan lagi kambing RM1 ini di luar Johor, termasuk di Kuala Lumpur.

“Buat masa ini kami buka kepada mereka yang berdekatan seperti Melaka dan Negeri Sembilan.

“InsyaAllah memang niat saya untuk perluaskan supaya lebih ramai yang dapat kita bantu,” katanya ketika ditemui di ladang milik beliau di Kangkar Tebrau di sini.

Menurut Osman, Program Kambing Aqiqah RM1 layak bagi bayi yang lahir di hospital kerajaan dan swasta di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Selain itu, pihaknya turut mencarumkan RM50 di Tabung Haji kepada bayi yang bertuah.

“Setiap bayi yang dilahirkan pada hari ini lelaki mahupun bayi perempuan akan diberikan seekor kambing dengan harga RM1, tetapi bagi bayi lelaki harga kambing ke dua Insyallah kami beri pada harga istimewa,” jelasnya.

Keluarga terlibat boleh memilih kambing jenis boer atau biri-biri.

“Selepas sembelih pihak kami akan bersihkan dan potong sebelum diserahkan kepada keluarga bayi terlibat. Syukur dengan rahmat Allah, berkat usaha ini rezeki saya bertambah baik termasuk kesihatan saya.

“Walaupun perniagaan tidak sebaik dahulu, ada kurang. Tetapi rezeki masih ada,” ujarnya.

Osman berkata, pihaknya akan menyerahkan kambing tersebut bermula 18 Disember depan.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan kambing aqiqah boleh menghubungi beliau di talian 019-756 3000.-MalaysiaGazette