Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian membabitkan kanak-kanak perempuan di sebuah hotel di Tanjung Bungah Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian membabitkan kanak-kanak perempuan di sebuah hotel di Tanjung Bungah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil proses bedah siasat mendapati mangsa berusia enam tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah terjatuh dari tempat tinggi.

“Bedah siasat selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang sebelum mayat kanak-kanak itu dituntut ahli keluarga hari ini.

Soffian Santong.

“Tiada unsur jenayah ditemui dalam kes ini dan kes dik klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Soffian, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan bagi menyiasat punca sebenar kejadian.

“Berdasarkan siasatan polis dan pihak forensik konsisten mangsa terjatuh dari tingkat tinggi,” jelas Soffian.

Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Difahamkan, jenazah Nur Airis Hafeeya Faizal dikebumikan di Sungai Petani, Kedah.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, percutian sebuah keluarga berakhir dengan tragedi apabila anak bongsu mereka maut dipercayai terjatuh dari hotel mereka menginap di Tanjung Bungah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika mangsa, Nur Airis Hafeeya Faizal, 6, itu baru selesai mandi di kolam renang hotel berkenaan bersama lima ahli keluarganya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak maut terjatuh dari hotel