Presiden UMNO. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas melancarkan jentera UMNO Melaka sempena Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) ke- 15 di Masjid Tanah, Melaka. Foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2021.

MASJID TANAH – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu menerima kunjungan beberapa pihak yang mahu bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, UMNO terbuka untuk mempertimbangkan tawaran dan kerjasama yang akan dibentuk bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini

“Ya, pelbagai pihak datang kepada kami, kami berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan sesiapa sahaja yang mahu memberikan pandangan, kami terima.

“Namun segala keputusan akan kita putuskan secara kolektif apabila tiba masanya,” katanya pada sidang media di D’Aqua Villa, di sini, hari ini.

Pada 13 Oktober lalu, Ahmad Zahid memberi gambaran UMNO akan bergerak secara solo dalam PRN Melaka sekiranya ia diadakan kelak.

Bagaimanapun, pada 16 Oktober lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu tidak akan ‘gopoh’ dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Melaka. – MalaysiaGazette