KUALA LUMPUR – Kekeruhan air Sungai Remok, Hulu Selangor sejak Isnin lalu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja tanah bagi tujuan pertanian seluas 20 ekar di hulu sungai terbabit.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, ia hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas membuat tinjauan menggunakan dron di antara Sungai Remok dan Sungai Batang Kali.
“Semakan juga mendapati kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah diperolehi bagi tujuan tapak penanaman sayur, namun tiada kelulusan pelan kerja tanah.
“Tindakan Kompaun di bawah seksyen 70 A(1) Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan MDHS kepada premis tersebut kerana menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Loy Sian juga berkata, hasil penelitian LUAS juga mendapati terdapat pelepasan bahan pencemar (kekeruhan) daripada sebuah kolam takungan di kawasan tersebut pada jarak kurang 1 kilometer yang mengalir terus ke Sg. Remok.
“Pensampelan LUAS secara in-situ di lokasi tersebut bagi parameter kekeruhan adalah 20 NTU dan jumlah pepejal terampai (TSS) adalah 18 mg/l semasa keadaan biasa tanpa hujan.
“Bagaimanapun kawasan permukaan kerja tanah itu berisiko kepada peningkatan kekeruhan tinggi apabila hujan lebat jika tiada langkah-langkah kawalan sedimen serta perangkap kelodak yang efisien,” katanya.
Susulan itu, katanya LUAS telah mengeluarkan Perintah Perlindungan Air berdasarkan Seksyen 122 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada pihak premis untuk menghentikan serta-merta sebarang pelepasan bahan pencemar tersebut ke dalam Sg. Remok.
“Ia sebagai penyediaan langkah-langkah kawalan pencemaran sedimen dan kelodak yang efisien berikutan risiko kepada kuantiti dan kualiti air terjejas akibat kekeruhan.
“Kegagalan pematuhan perintah ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya tidak melebihi RM 3,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan,” katanya.
Anggaran jarak lokasi punca pencemaran ke muka sauk terdekat iaitu muka sauk loji rawatan air (LRA) Batang Kali adalah 5.15 KM.
“Tiada henti tugas operasi LRA dilaporkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette