Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, penghasilan statistik di negara ini menuntut kolaborasi semua pihak dari pembekal data sehingga kepada pengeluar.

Beliau berkata, ini kerana pembekal perlu merujuk kepada responden dan agensi kerajaan serta swasta yang mempunyai maklumat serta rekod pentadbiran.

Menurutnya, dalam konteks penyediaan dan penyebaran statistik, pengeluaran statistik yang komprehensif memerlukan kerjasama kolektif semua entiti dalam ekosistem
Sistem Statistik Negara.

“Dalam hubungan ini, kerjasama strategik dan berkesan antara agensi kerajaan, swasta dan masyarakat umum amat diperlukan.

“Pendekatan kerjasama strategik ini berupaya untuk menghasilkan outcome yang
bermanfaat kepada negara dan rakyat, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga bagi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Statistik Negara dan Persidangan Statistik Malaysia Ke-8 2021 Navigating Resilient Recovery Through Statistics menerusi Facebook secara langsung  hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) adalah agensi kerajaan yang diberi mandat dalam menjana statistik rasmi negara.

Mohd. Uzir menambah, Hari Statistik Negara ini sebenarnya bukan hanya diraikan oleh pengamal statistik sahaja, namun ia merupakan hari keraian bagi semua individu dan
institusi yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam penghasilan statistik negara.

Ujarnya, DOSM kini turut menjadi pusat rujukan dalam penyusunan statistik rasmi dan mendapat pengiktirafan dari agensi dalam dan luar negara.

“Kunjungan agensi penyelidikan swasta dan kerajaan serta pelajar institut pengajian tinggi dapat memberi pendedahan tentang penyusunan statistik rasmi negara dalam bidang ekonomi, kependudukan dan sosial.

“Manakala, lawatan sambil belajar delegasi National Statistical Office (NSO) dari negara lain memberi ruang kepada DOSM untuk berkongsi pengalaman tadbir urus sistem statistik dan kepakaran dalam pelbagai bidang,” katanya. – MalaysiaGazette