Antara warga asing yang ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi penguatkuasaan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur . Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya menyerbu sebuah tapak pembinaan di Sri Rampai, Wangsa Maju dalam operasi bersepadu, semalam.

Operasi bermula kira-kira jam 11.45 pagi hingga 2.30 petang itu memeriksa sebanyak 254 pekerja asing.

Daripada jumlah itu, seramai 213 pekerja binaan warga asing termasuk 210 lelaki dan tiga wanita ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 172 warga Bangladesh, diikuti Indonesia (20), Pakistan (10), Vietnam (enam), India (tiga) dan Myanmar (dua).

Warga asing yang ditahan dibawa menaiki trak dalam satu operasi bersepadu di tapak pembinaan Wangsa Maju, Kuala Lumpur . Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2021.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah mengikut Seksyen 6 (1)(c); Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen.

MalaysiaGazette yang menyertai operasi itu mendapati semua warga asing memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

Tiada seorang pun yang cuba melarikan diri.

Semua pekerja asing yang terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya bagi tujuan dokumentasi.

Operasi tersebut disertai 187 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – MalaysiaGazette