PAS logo Melaka state election Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Hari Sabtu terakhir setiap bulan diumumkan sebagai hari pengumpulan sisa barangan elektronik dan elektronik (e-waste) di seluruh negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementeriannya mensasarkan mengumpul 800 metrik tan e-waste pada tahun ini dalam usaha melestarikan alam sekitar dan mendepani cabaran baharu yang lebih kompleks.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat September lepas, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah berjaya mengumpul sebanyak 432 metrik tan e-waste.

“Pada hemat saya, ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan walaupun ia dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya mengikuti perkembangan program pengumpulan tersebut di Selangor, Perak dan Johor seperti yang dipaparkan di media sosial. Sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Kebangsaan 2021, secara maya hari ini.

Turut sama pada majlis itu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman; Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian serta Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Menurut Tuan Ibrahim, pihaknya bertekad untuk mencapai sasaran pengumpulan 800 metrik tan e-waste itu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 hingga 2030, KASA menganjurkan inisiatif untuk melaksanakan Program “Plasticbusters”.

Katanya, ia harus bermula di KASA dan dalam kalangan penjawat awam untuk menekankan kepentingan pengurangan penggunaan plastik sekali guna.

Ujarnya, beliau yakin penjawat awam mampu menjadi ejen perubahan yang membudayakan gaya hidup lestari sama ada di tempat kerja mahupun di rumah.

“Saya sarankan agar seluruh rakyat Malaysia menyahut seruan ini dan berusaha menggunakan alternatif lain bagi menggantikan plastik seperti beg guna semula, bekas makanan dan
penyedut minuman kertas,” ujarnya.

Tambah Tuan Ibrahim, KASA juga sebagai agensi peneraju kelestarian alam di Malaysia turut menjadikan aktiviti penghijauan bumi dan penanaman pokok sebagai salah satu aktiviti teras dalam Hari Alam Sekitar Negara.

Jelasnya, KASA akan bersama dengan agensi lain akan menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh lima tahun seperti yang telah diumumkan oleh bekas perdana menteri pada 8 September tahun lalu. – MalaysiaGazette