fully vaccinated Omicron variant VOC reinfection rate Malaysia-Singapore Vaccinated Travel Lane VTL Covid-19 positive Antivaxxers dajjal Covid-19 vaccine Khairy Jamaluddin KJ
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR –  Kementerian Kesihatan  (KKM) telah memutuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak kepada individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebagai permulaan, pemberian dos penggalak secara heterologous itu akan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas.

“KKM telah memutuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak ini kepada individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac sekurang- kurangnya tiga bulan yang lalu di mana mereka akan diberikan dos penggalak vaksin Comirnaty secara heterologous,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy juga berkata, pelaksanaan dok penggalak itu akan dilakukan secara sukarela dan percuma malah ia akan bermula esok.

“Pemberian dos penggalak secara heterologous ini adalah secara penggunaan off-label dan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of COVID-19 Vaccination (RECoVaM) dan kajian kesan serius selepas vaksinasi (SAFECOVAC) iaitu bagi semua penerima dos penggalak,” jelasnya.

Pelaksanaan dos penggalak  juga saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunization daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bersidang pada 4 hingga 7 Oktober lalu.

Malah menurut Khairy, pemberian dos penggalak dilakukan untuk memastikan tempoh perlindungan yang optima diperoleh oleh penerima vaksin Covid-19 di Malaysia.

Tambah beliau, program itu akan dilakukan secara berfasa di seluruh negara.

Ditanya mengenai dos penggalak bagi vaksin-vaksin lain, Khairy berkata, KKM akan membuat syor berkenaan.

Ini kerana pakar-pakar di negara ini masih melihat kepada data-data negara lain, katanya.

“Kumpulan pakar kita sentiasa melihat kepada data daripada negara-negara lain dan apabila mereka sudah berpuas hati dengan data tersebut terutamanya data daripada UK (United Kingdom) di mana kebanyakkan vaksinasi pertama dan kedua menggunakan vaksin AZ (Astra Zeneca) dan sekarang ini mereka menggalakkan dos penggalak, kita juga akan buat syor yang sama.

“Kita akan buat pengumuman selepas kajian dibuat oleh kumpulan pakar kita dan kita akan umumkan, buat masa ini kita bermula dengan Pfizer dan Sinovac,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast