Pelawak Shuk Sahar

KUALA LUMPUR – Kontroversi melibatkan pelakon, Fauzi Nawawi selepas berkongsikan tentang lakonannya ketika menjayakan babak panas bersama Raja Farah dalam satu program televisyen turut terpalit kepada Shuk Sahar.

Ini kerana sebagai pengacara rancangan dalam program Rumah No 107 terbitan Astro Warna itu pelawak itu turut dikecam teruk oleh netizen berikutan dialognya seolah-olah mahu Fauzi menjelaskan lebih terperinci mengenai babak berkenaan.

“Kalau boleh terangkan satu persatu, saya nak bayangkan,” kata Shuk kepada Fauzi dalam klip video tular itu.

Susulan tindakannya itu, segelintir netizen mahu pengacara itu diboikot apatah lagi dia sering mencetuskan kontroversi.

Malah, mereka turut kesal apabila Shuk boleh berlawak tentang perkara itu tanpa memikirkan perasaan keluarga pelakon wanita tersebut.

Semalam, Fauzi membuat permohonan maaf di Instagram terutama kepada Raja Farah dan suaminya.

Mengakui kesilapannya itu, Fauzi berkata, dia tiada niat untuk memalukan Raja Farah.

Menurutnya, sebaik selesai rakaman temu bual tersebut, dia sudah meminta pihak penerbit dan produksi untuk memotong bahagian yang sensitif ketika perbualan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya rasa malu, macam dibuka aib – Raja Farah