Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Terdapat peningkatan signifikan terhadap status kualiti alam sekitar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang menyaksikan rakyat Malaysia dapat menikmati persekitaran lebih sihat termasuk udara yang bersih.

Ini menunjukkan bahawa tangan-tangan manusia yang sebenarnya menjejaskan keseimbangan dan keharmonian alam dan penularan wabak Covid-19 menjadi penyembuh kepada alam semula jadi, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, cabaran kini adalah untuk memulihkan kegiatan ekonomi tanpa mencetuskan semula kemerosotan kualiti alam sekitar.

“Justeru, dalam mendepani cabaran dan merungkai masalah pencemaran alam sekitar yang silih berganti, sinergi antara agensi-agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri harus terus digembleng melalui aktiviti penguatkuasaan yang menyeluruh dan mengekalkan momentum sedia ada.

“Saya percaya, kita berada pada satu landasan yang tepat dan sekata dalam menguruskan alam sekitar secara lestari melalui empat tunjang utama iaitu tadbir urus yang baik, instrumen perundangan yang ampuh, penguatkuasaan menyeluruh dan
pendidikan dan kesedaran secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Kebangsaan 2021, secara maya hari ini.

Hadir pada majlis Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman; Exco Pelancongan dan Alam sekitar Hee Loy Sian serta Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Dalam pada itu Amirudin berkata, kerajaan Selangor mengatur tujuh program utama peringkat negeri sepanjang sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor.

Ketujuh-tujuh program berkenaan adalah pengumpulan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan sasaran kutipan seluruh negara sebanyak 800 metrik tan, program penanaman pokok bersama Rakan Alam Sekitar (RAS) bertemakan “Satu RAS : Satu Pokok” bagi menyokong kempen penanaman 100 juta pokok sehingga tahun 2025 dan Majlis Apresiasi Media Alam Sekitar.

Turut diadakan, Webinar Diskusi Menjentik Minda: Belia Cakna Alam Sekitar, Webinar Industri Lestari: Penyelesaian Kepada Masalah Pencemaran Sumber Air di Selangor, Majlis Anugerah Industri Lestari bagi mengiktiraf sumbangan signifikan komuniti industri dalam pengurusan alam sekitar dan Kempen “Plastic Busters” yang menyasarkan pengurangan penggunaan beg plastik dan larangan penggunaan plastik sekali guna, ujarnya. – MalaysiaGazette