Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1.6 peratus atau 25,920 kakitangan sektor awam belum menerima vaksin dan ketua-ketua jabatan akan memahami punca mereka enggan berbuat demikian.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, sebagai barisan pertama dalam merealisasikan matlamat kerajaan, penjawat awam tidak boleh menolak vaksin.

“Sebanyak 98.4 peratus penjawat awam telah menerima vaksin, tetapi masih ada 1.6 peratus yang enggan berbuat demikian.

“Walaupun jumlah ini tidak besar, tetapi keadaanya tidak boleh diterima kerana mereka merupakan pelaksana dasar kerajaan,” katanya kepada China Press.

Menurut Adnan, vaksinasi 100 peratus dalam kalangan penjawat awam juga dapat memberi keyakinan kepada orang ramai ketika berurusan dengan kerajaan.

Katanya, vaksinasi juga bertujuan menjamin keselamatan penjawat awam, khasnya mereka yang bertugas di kaunter dan perlu bertemu dengan ramai orang.

Beliau berkata, ketua jabatan pada beberapa minggu akan datang akan bertemu dengan penjawat awam yang enggan menerima vaksin untuk memahami punca keadaan itu.

Jelasnya, melainkan mendapat kelulusan doktor untuk tidak menerima vaksin atas faktor kesihatan, penjawat awam perlu menuruti arahan untuk divaksin.

“Mereka yang menyertai gerakan antivaksin telah melanggar peraturan untuk penjawat awam dan boleh dipecat kerana ini merupakan kesalahan serius,” katanya. – MalaysiaGazette