Datuk Seri Mahdzir Khalid mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di Kuching.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri Sarawak menjalinkan kerjasama bagi membangunkan sistem Data Raya berkaitan program pembangunan di negeri itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkongsian data raya itu akan membolehkan penyelarasan semua program pembangunan di Sarawak dapat dimantapkan.

“Hari ini kita ada persetujuan di antara KPLB dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg iaitu kita nak membangunkan satu sistem yang akan berkongsi data (data raya).

“Sistem data raya membolehkan kita berkolaborasi dengan Sarawak, maksudnya kita kongsi data bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya, jalan kampung, ameniti sosial, rumah PPRT, baik pulih, Tadika Kemas di bawah kementerian dan keusahawanan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di Kuching hari ini.

Turut serta, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah; Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Tambah Mahdzir lagi, sistem data raya dalam bentuk maklumat setempat itu akan memudahkan penyelarasan diperingkat KPLB dan agensi kerajaan negeri dalam melaksanakan projek pembangunan di Sarawak.

“Selain itu, ia boleh mengelakkan pertindihan serta memudahkan pemantauan bagi setiap kawasan dan projek yang dilaksanakan.

“Susulan pertemuan ini, KPLB akan mengadakan perbincangan lanjut di peringkat pegawai tinggi kedua-dua pihak kementerian dan kerajaan Sarawak untuk penyelarasan projek pembangunan KPLB,” katanya.

Jelasnya, secara pentadbiran, penyelarasan itu akan melibatkan tiga peringkat iaitu persetujuan peringkat kementerian dan kerajaan negeri, peringkat pengurusan tertinggi KPLB dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan peringkat teknikal yang membabitkan pegawai pelaksana.

“Untuk membolehkan penyelarasan projek-projek pembangunan Persekutuan melalui KPLB kepada negeri Sarawak, (ada) empat komponen, pertamanya adalah jalan luar bandar, yang keduanya adalah bekalan elektrik luar bandar, yang ketiganya adalah bekalan air luar bandar, (dan) yang keempatnya adalah kesejahteraan rakyat yang melibatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT”, katanya lagi.

KPLB turut akan mengambil kira cadangan Abang Johari untuk menentukan program pembangunan mengikut fokus kawasan.

“Beliau ada menyebut mengenai bagaimana hendak melihat satu-satu kawasan di Wilayah Sarawak ini boleh dibangunkan, jadi kita fokus kepada beberapa Kawasan.

“Saya punya keyakinan bahawa kita diperingkat kementerian dan diperingkat Persekutuan (padankan) dengan apa yang kerajaan negeri minta dari segi kawasan mana yang (hendak dibangunkan)”, katanya. -MalaysiaGazette