Calon untuk jawatan Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy hadir ke Penamaan Calon ketika di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Nama Datuk Mohana Muniandy sememangnya bukanlah satu nama asing dalam politik kaum India.

Wanita yang pernah menang jawatan Ketua Wanita MIC dalam pemilihan parti pada November 2017 itu kini memilih untuk merebut Ketua Wanita MIC Kebangsaan pasa pemilihan akan datang.

Mohana berkata, walaupun beliau merancang untuk berehat daripada dunia politik selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 namun ia tidak pernah berlaku.

“Hari ini anda lihat saya berdiri depan anda, kembali bertanding jawatan Ketua Wanita bukan kerana saya ‘gila kuasa’ atau apa-apa. Saya pernah cuba berehat dan tidak berehat, sebaliknya beri peluang kepada yang lain untuk teraju sayap ini.

“Tapi hakikatnya, bukan sahaja sokongan dan restu diberikan oleh ‘nombor satu’ kepada saya untuk kembali mengetuai sayap ini sebaliknya ajakan dan pujukan daripada perwakilan, wanita sahaja kita ada dalam 8,000 pemimpin wanita seluruh negara,” katanya.

Mohana berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita MIC, di sini, hari ini.

Tambah beliau ramai yang memintanya untuk kembali ke dunia politik.

Namun menurut Mohana, politik hari ini sudah banyak berubah, begitu juga dengan pemikiran rakyat yang turut mahukan perubahan.

“Kerana itu juga saya kembali.  Perjuangan saya dalam mengangkat martabat wanita tidak pernah berhenti atau lenyap malah semakin meluap-luap.

“MIC adalah wadah perjuangan sejak lebih 74 tahun dan saya bangga kembali bukan sahaja bertanding malah yakin akan menang dengan sokongan para perwakilan,” katanya.

Reaksi calon untuk jawatan Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy selepas sidang media ketika hadir menyerahkan borang pencalonan di Penamaan Calon ketika di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2021.

Penamaan calon hari ini adalah untuk jawatan dalam sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri peringkat kebangsaan dan bahagian dengan pemilihan dijadualkan pada 30 Oktober ini.

Menurut Perlembagaan MIC, pemilihan parti perlu diadakan setiap tiga tahun sekali.

Antara yang turut berada dalam pasukan Mohana ialah Vickneswari Babuji yang akan bertanding merebut jawatan Timbalan Ketua Wanita Kebangsaan manakala A Krishnaveny dan Inbavalli Renganathan akan merebut jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC).

Mohana yang menceburi politik sejak 1995 bertekad untuk memperkasakan isu pendidikan dan ekonomi kaum India.

Calon untuk jawatan Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy bersorak selepas sidang media ketika hadir bagi menyerahkan borang pencalonan di Penamaan Calon ketika di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2021.

“Saya telah bekerja di bawah tiga Presiden iaitu Tun Samy Vellu, Datuk Seri G Palanivel kemudian Datuk Seri Dr S Subramaniam kini parti sedang diterajui oleh Tan Sri SA Vigneswaran yang juga ‘all out’ dan begitu agresif.

“Pesanan beliau kepada saya adalah untuk memainkan peranan penting terutamanya pada PRU akan datang. Beliau amat memahami kehendak dan nadi kaum ini dan mahu yang terbaik termasuklah mengembalikan kekuataan Wanita MIC pada hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette