RIYADH – Lebih 200 siswazah wanita Program Kepemimpinan Global-Georgetown Qiyadat bakal menerima penghargaan dalam satu majlis yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi esok, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Mereka adalah siswazah wanita pertama di bawah program yang bertujuan memperkasakan golongan itu untuk menguasai aspek kepemimpinan dengan lebih baik.
Majlis anjuran Qiyadat Global dengan kerjasama McDonough School of Business, Universiti Georgetown, akan memberi penghargaan kepada siswazah dari lebih 20 negara dan pelbagai bidang merangkumi swasta, awam dan badan bukan kerajaan.
Mereka telah menyelesaikan program akademik mengenai kemahiran kepemimpinan dalam membuat keputusan, pengurusan perubahan organisasi dan prestasi organisasi serta interaksi dengan pihak berkepentingan.
Bidang kewangan mempunyai lulusan paling ramai iaitu 16 peratus, diikuti pendidikan (14 peratus), penjagaan kesihatan (12 peratus), tenaga (10 peratus), bahan kimia (enam peratus), teknologi (lima peratus) serta media dan komunikasi (3.5 peratus), menurut SPA.
Kelayakan pelajar semasa kemasukan pula, ijazah sarjana muda sebanyak 42 peratus; sarjana (47 peratus); Doktor Falsafah (sembilan peratus); dan sijil perubatan (dua peratus).
Kerjasama Qiyadat Global, Arab Saudi, dan Universiti Georgetown melalui jabatan ‘Custom Executive Education’ itu diiktiraf penting dan bertepatan dengan usaha kedua-dua pihak dalam memperkasakan wanita.
Bagi pihak siswazah, mereka berterima kasih dan gembira berjaya menamatkan program itu di sebalik pandemik COVID-19.
Program itu menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang disepakati pemimpin dunia pada September 2015, di bawah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- BERNAMA