PBB

PUTRAJAYA – Malaysia hari ini bersama-sama 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meraikan sambutan Hari PBB.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan sejak menyertai PBB pada 1957 dan menjadi anggota ke-82, Malaysia amat menitikberatkan tiga tonggak utama PBB.

Ketiga-tiga tonggak itu adalah keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan pembangunan.

Malaysia telah memainkan peranan aktif dalam PBB dan turut dipilih sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB antara tahun 1965-2016.

Selain itu Malaysia juga dipilih menganggotai Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) sebanyak tujuh kali antara 1971-2010.

Malaysia turut berbesar hati kerana baru-baru ini dipilih buat kali ketiga menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk penggal 2022-2024.

Kenyataan itu menyatakan Malaysia berkeyakinan penuh ke arah memupuk kewujudan bersama secara aman antara berbilang negara, penduduk, agama dan budaya dan ia terpancar menerusi penerbitan Kenyataan Bersama bagi Memperingati Ulang Tahun Pertama Pernyataan Sokongan kepada Rayuan Setiausaha Agung berkenaan Gencatan Senjata Global oleh Co-Initiators pada Jun tahun ini.

Malaysia juga menyokong hasrat PBB untuk mewujudkan dunia tanpa senjata nuklear dan akan terus memainkan peranan aktif dalam kempen pelucutan senjata nuklear.

Hari PBB disambut pada 24 Okt setiap tahun untuk memperingati ulang tahun Piagam PBB 1945.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast