Pihak forensik mengumpul bahan bukti di lokasi kejadian.

BUTTERWORTH  – Berang dituduh curi telefon bimbit punca pemandu lori menetak mati seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Pak Abu, Kampung Telaga Air, di sini, semalam.

Sumber MalaysiaGazette berkata, motif pembunuhan itu terbongkar selepas pihak polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai membunuh mangsa.

Katanya, suspek berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah flat di Jalan Mak Mandin, di sini, pada jam 10 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal suspek mengaku bertengkar dengan mangsa berusia 34 tahun itu selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik pihak ketiga di kampung Jalan Pak Abu.

“Pertengkaran mulut itu berlaku di luar pekarangan sebuah rumah di kawasan sama sebelum suspek bertindak menetak mangsa menggunakan parang,” katanya hari ini.

Tambah sumber, semakan juga mendapati suspek yang sudah berumahtangga itu mempunyai 22 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mofin.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang lelaki yang mempunyai 15 rekod lampau mati di Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya akibat ditetak.

Mangsa berusia 34 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 8 malam sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk bantuan lanjut. – MalaysiaGazette