Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi bagi meningkatkan pendapatan dan kuasa beli golongan B40 dan kumpulan 10 peratus terendah daripada M40.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan strategi jangka masa panjang kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025.

“Walaupun keutamaan kerajaan dalam meringankan beban rakyat
semasa Covid-19 adalah untuk membantu kumpulan B40, kerajaan juga membantu M40, khususnya yang berada dalam kumpulan M1, iaitu yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM5,880 sebulan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd. Edris (Bersatu) mengenai inisiatif yang telah ambil kerajaan untuk menangani isu 20 peratus isi rumah M40 beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40 akibat impak pandemik Covid-19.

Jelas Mustapa, melalui pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM530 bilion, terdapat bantuan yang memanfaatkan M40 seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan moratorium bayaran balik pinjaman.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan purata bulanan isi rumah secara keseluruhan telah menurun sebanyak 10.3% pada tahun 2020.

Sebanyak 20 peratus atau kira-kira 600,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah beralih kepada kumpulan B40, jelasnya.

Namun ujar beliau, terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi semakin kukuh sejak Ogos lalu.

“Umpamanya, kadar pengangguran telah jatuh kepada 4.6% dan jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 6.8%.

“Apabila ekonomi negara pulih sepenuhnya pada tahun depan, lebih banyak perniagaan akan dibuka dan lebih ramai rakyat akan kembali bekerja, pendapatan isi rumah dijangka kembali ke situasi sebelum Covid-19,” tambahnya. – MalaysiaGazette