drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Akibat berada di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan mengugut dan mengacukan pisau ke arah anak saudaranya dalam satu kejadian di Taman Tasik Tambahan, Ampang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, suspek telah datang ke rumah keluarga pengadu iaitu anak saudaranya yang berusia 17 tahun dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kakak pengadu.

“Suspek kemudiannya pergi ke arah dapur dan mengambil sebilah pisau lalu mengacukannya kepada pengadu sambil mengugut untuk membunuh remaja itu.

“Punca pergaduhan disyaki kerana suspek yang berusia 22 tahun itu berada dalam keadaan halusinasi akibat pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, selepas menerima laporan daripada keluarga pengadu, sepasukan anggota pergi ke lokasi kejadian untuk membuat tangkapan terhadap suspek.

Jelas beliau, suspek yang tidak bekerja dan masih belum berkahwin itu merupakan adik bongsu kepada ibu pengadu.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis.

“Turut dirampas di lokasi kejadian adalah sebilah pisau berwarna kelabu yang digunakan oleh suspek,” katanya.

Kata Mohamad Farouk, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Ini merupakan kejadian kedua yang berlaku, sebelum ini suspek pernah dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut mahu membunuh pengadu pada bulan Ogos lalu dan telah dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952. – MalaysiaGazette