pandalela rinong sexual harassment bully national coach ahmad faizal azumu
Ahmad Faizal Azumu

BANGI – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah membuat beberapa panggilan peribadi kepada atlet-atlet dan berjumpa mereka mengenai pendedahan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengenai gangguan seksual.

“Saya dah berjumpa dengan beberapa atlet tentang perkara ini jadi tidak sesuai untuk saya hebahkan lagi perkara ini masa ini.

“Tapi saya hanya nak faham keseluruhan senario, kenapa tiba-tiba setelah sekian lama lela (Pandelela) keluar kenyataan melalui media sosial beliau,” katanya pada sidang media seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021, di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, dunia sukan tanahair dikejutkan dengan pendedahan Pandelela bahawa beliau pernah dibuli oleh seorang jurulatih selepas menegur sikap individu berkenaan yang sering membuat lawak berbaur lucah.

Jelas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu, setiap kali jurulatih itu membuat lawak sedemikian, beliau hanya mendiamkan diri atau pura-pura ketawa kerana bimbang dan berasa takut.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut.

“Saya juga ingin hubungi rakan mantan menteri KBS, Khairy Jamaluddin, saya percaya dia juga mempunyai pandangan dan maklumat tentang perkara ini tetapi kita semua, bukan saja KBS tapi setiap daripada kita mesti ada sifat benci kepada perbuatan seperti ini,’ katanya lagi.

Khairy turut membalas ciapan pemenang pingat emas Sukan Komenwel itu.

Beliau kemudian mengimbas kembali tindakan beberapa wartawan sukan yang mengkritik perubahan dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan terhadap struktur kejurulatihan pasukan terjun negara ketika isu itu melanda.

“Terima kasih Lela kerana membangkitkan perkara ini. Saya akan membuat keputusan sama pada setiap masa,” ciap Khairy.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, KBS akan tetap menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor.

“Kami belum buat keputusan lagi tapi memang telah adakan perbincangan dengan kerajaan Johor dan bersedia untuk dilaksanakan jika perlu diperingkat pusat tapi yang paling penting ialah Sukma tetap akan diadakan pada tahun hadapan.

“Paling penting Sukma mesti kita laksanakan pada tahun hadapan kerana kita nak pastikan altet yang telahpun berlatih yang akan lanjut usia jika tidak kita adakan perlu diberikan keadilan kerana mereka telah berlatih bersungguh-sungguh dalam keadaan pandemik,” katanya.

Sukma 2020 ditangguhkan dua kali sebelum ini akibat wabak Covid-19 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. – MalaysiaGazette