Penghantar makanan berusia 18 tahun terperangkap dalam ruang mesin ATM selepas pintu bilik berkenaan terkunci secara automatik semasa masuk untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM dalam kejadian tengah malam tadi di sebuah bank di Tanjong Karang, Kuala Selangor.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan e-hailing yang mahu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) terkejut apabila beliau terperangkap di dalam premis bank di Tanjong Karang, Selangor malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.41 tengah malam tadi mengenai insiden tersebut.

“Sepasukan anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi premis bank berlaku insiden sebelum sampai ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer selepas seminit.

“Pemerhatian di premis berkenaan, anggota kami mendapati seorang mangsa remaja berusia 18 tahun telah terperangkap di dalam ruangan mesin ATM disebabkan pintu ruang ATM telah terkunci secara automatik selepas masuk untuk urusan pengeluaran wang dari mesin,” katanya.

Tambah beliau, anggota bomba telah menggunakan kaedah receo membuat pemeriksaan keseluruhan kawasan itu sebelum cuba menghubungi bank terbabit dan memaklumkan kejadian tersebut.

“Bagaimanapun dengan bantuan pegawai bank berkenaan, mangsa yang terperangkap di dalam bilik ruang mesin ATM itu selama lebih kurang 15 minit akhirnya dapat dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan kerosakan pada pintu bank tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette