Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR – Setiap warga dalam Keluarga Malaysia perlu mengamalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan, menghargai perbezaan pendekatan dan kaedah, agar pandangan, pendapat, pendekatan dan kaedah terbaik dapat dicapai secara konsensus.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, suara yang berbeza sewajarnya diberi ruang untuk  diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya.

Menurut baginda, semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai.

Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar dan menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan seadil-adil perimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana.

”Orkestra yang besar mengandungi pelbagai instrumen yang memiliki pelbagai bunyi. Lebih besar orkestra, lebih banyak instrumen dihimpunkan.

”Setiap instrumen memiliki bunyi tersendiri, dengan gaya mengeluarkan bunyi yang berlainan, sama ada secara tiupan, gesekan, petikan, tekanan atau pukulan. Tidak ada instrumen yang dianggap tidak penting, malah setiap instrumen dilihat sebagai aset tambahan yang akan memperkayakan orkestra.

”Pemimpin orkestra yang hebat menghargai setiap bunyi daripada setiap instrumen, lebih banyak instrumen, lebih banyak bunyinya, lebih hebat pula melodinya jika berjaya diharmonikan.

”Pemimpin yang bijaksana boleh mengambil pengajaran daripada kejayaan seorang pemimpin orkestra, berupaya menggabungkan instrumen yang pelbagai bunyi dalam simfoni yang harmoni,” titah baginda pada istiadat mengucap selamat berangkat di Istana Negara hari ini.

Tugas baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong berakhir pada jam 12 tengah malam ini.

Sultan Nazrin telah menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom (UK) sejak 17 September lalu.

Sehubungan itu, baginda menyeru para pemimpin negara ini  menjadikan kepimpinan Rasullullah sebagai contoh.

Titah Sultan Nazrin, Rasullah tidak perlu menggunakan kekerasan, tetapi melalui contoh teladan yang baik sebagai iktibar.

Tegas baginda, konsep keluarga bukan asing kerana ia telah berakar dan subur meranting dalam budaya bangsa, malah konsep ini juga terkandung dalam ajaran Islam.

Masyarakat Melayu turut mengutamakan ikatan persaudaraan dalam semangat kekeluargaan seperti yang terserlah dalam bidalan Melayu, “Biduk berlalu kiambang bertaut”, “Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga”, “Air dicencang tidakkan putus”.

Menurut baginda, semangat kekeluargaan turut membentuk budaya menghargai orang-orang terdahulu yang pernah berjasa dan budaya tidak bersifat kacang lupakan kulit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast