Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Tiga hakim Mahkamah Tinggi di sini memberikan kelulusan terhadap permohonan pelepasan pasport kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketiga-tiga hakim itu ialah Datuk Muhammad Jamil Hussin, Collin Lawrence Sequerah dan Mohamed Zaini Mazlan.

Ketiga-tiga mereka membenarkan Najib mendapatkan lanjutan pelepasan sementara pasport bagi membolehkan beliau ke Singapura pada bulan depan.

Pada minggu lepas, bekas Perdana Menteri itu memohon untuk lanjutan tarikh dan meminda tarikh perjalanannya daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 21 November hingga 6 Disember.

Ini kerana, kata Najib, beliau perlu menguruskan jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memandangkan Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan ke Jerman bagi mendapatkan rawatan tulang belakang.

Ketiga-tiga hakim dalam prosiding berasingan pada pagi tadi memberikan kebenaran pindaan tersebut.

Najib berdepan dengan beberapa kes mahkamah antaranya dakwaan  penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International yang kini di peringkat rayuan.

Beliau juga berdepan dengan kes penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion dan kes pecah amanah dana RM6.6 bilion melibatkan pembayaran Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC). – MalaysiaGazette