Thursday, December 9, 2021
Home Utama Isu Pandelela: Ahmad Faizal diasak pembangkang

Isu Pandelela: Ahmad Faizal diasak pembangkang

pandalela rinong sexual harassment bully national coach ahmad faizal azumu
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
KUALA LUMPUR –  Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi sasaran Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat gara-gara didakwa mengeluarkan kenyataan mempersoalkan niat ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang menimbulkan kembali insiden gangguan seksual.
Ia bermula apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan kenyataan Ahmad Faizal itu dan apa pendirian kementerian dalam isu gangguan sekskual.
Selepas itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pula membangkitkan Peraturan Mesyuarat 12(1), mempersoalkan peranan Ahmad Faizal selaku menteri yang seolah-olah tidak memberi sokongan yang diperlukan Pandelela dan atlet wanita dalam usaha mengekang insiden gangguan seksual.
Gobind turut mempersoalkan kenyataan Ahmad Faizal yang bertanya mengapa insiden itu ditimbulkan kembali dan turut mengingatkan beliau bahawa tiada had masa ditetapkan dalam undang-undang Jenayah.
“Tiada had masa untuk aduan khususnya aduan membawa kepada masalah jenayah, there is no time limitation in criminal laws.
“Kalau ada aduan, walaupun lama, seharusnya diambil tindakan. You as a minister should set the example, stand up and support the athletes,” kata Gobind lagi.
Namun Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, apa yang beliau maksudkan adalah keperluan untuk mengetahui perincian yang menyebabkan timbul semula pendedahan terrbabit serta status terkini siasatan yang sedang berjalan.
Katanya, kenyataan beliau pada sidang media semalam, yang menimbulkan kemarahan ramai pihak telah diterbitkan di luar konteks.
“Apa yang cuba saya lakukan (maksudkan) ialah mendengar terlebih dahulu dari semua pihak sebelum saya boleh beri penjelasan, itu yang saya sebut dalam sidang media.
“Saya dah muat naik (klip penuh) dalam Facebook saya, untuk semua dengar sendiri apa yang saya katakan.
“Saya mesti memastikan kejadian buruk (yang telah berlaku) kepada Pandelela, (tidak lagi berlaku) kepada mana-mana atlet terkesan, kerana kita mesti pertahan anak-anak kita,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Malam tadi, Pandelela menjelaskan dia berkongsi pengalamannya mengenai gangguan seksual yang melibatkan bekas jurulatihnya untuk memberi sokongan dan menggalakkan mangsa lain untuk bersuara.

“Saya berkongsi pengalaman buruk itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai, dan sokongan kepada mangsa di luar sana, yang sentiasa dalam dilema, sama ada mahu bersuara atau berdiam diri.

Walaupun menulis secara umum, ciapan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Ahmad Faizal dilaporkan mempersoalkan motif Pandelela mengungkit kisah gangguan seksual oleh bekas jurulatihnya setelah “sekian lama”.

Ahmad Faizal memberitahu, beliau juga telah membuat beberapa panggilan peribadi kepada atlet-atlet dan berjumpa mereka mengenai pendedahan Pandelela itu mengenai gangguan seksual.

“Saya dah berjumpa dengan beberapa atlet tentang perkara ini jadi tidak sesuai untuk saya hebahkan lagi perkara ini masa ini.

Pada Khamis lalu, dunia sukan tanahair dikejutkan dengan pendedahan Pandelela bahawa beliau pernah dibuli oleh seorang jurulatih selepas menegur sikap individu berkenaan yang sering membuat lawak berbaur lucah.

Jelas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu, setiap kali jurulatih itu membuat lawak sedemikian, beliau hanya mendiamkan diri atau pura-pura ketawa kerana bimbang dan berasa takut.

“Dulu saya ada seorang coach ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je tak pun fake laugh (gelak buat-buat) sebab takut dia.

“Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik.

“Tujuh tahun kemudian dia buat kes rogol,” katanya di Twitter yang menggunakan tanda pagar #rapejokeisnotfunny, bermaksud lawak rogol tidak lucu.

Kenyatannya itu hadir selepas klip video menampilkan pelakon Fauzi Nawawi menceritakan pengalamannya melakonkan babak rogol dengan pelakon Raja Farah Raja Aziz tular di media sosial.

Fauzi kemudian memohon maaf atas kenyataannya itu.

Sebelum ini, perenang negara Cindy Ong memberitahu media dia pernah mengalami gangguan seksual selama bertahun-tahun, termasuk daripada jurulatih kebangsaan ketika dia remaja. – Malaysiagazette