Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas sidang media mesyuarat EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada UMNO akan bekerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diketahui Khamis ini, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO akan bermesyuarat pada Khamis dan kita hanya perlu tunggu keputusan akhir daripada kepimpinan parti,” ujarnya ringkas ketika ditanya mengenai kerjasama UMNO-Pas pada PRN Melaka kelak.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, ahli UMNO juga masih berharap kerjasama yang terjalin sebelum ini di antara kedua-dua parti tersebut dapat terus dikekalkan serta dipelihara.

Katanya, perkara tersebut diketahui selepas mengadakan pertemuan di peringkat akar umbi.

“Kebanyakan ahli parti juga masih berharap kerjasaman MN dapat dipelihara dan mereka turut menjangkakan UMNO-Pas boleh terus bersama-sama, namun ia semua bergantung kepada Pas,” katanya.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Pada 13 Oktober lalu media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kerjasama dalam MN berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam PRN Melaka.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagai mana pilihan raya kecil yang pernah diadakan.

“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo, dan InsyaAllah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast