Thomas Trucha. Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Dua tonggak utama Penang FC, Khairu Azrin Khazali dan Rafael Vitor masih dalam pemantauan selepas berdepan kecederaan sebelum dibenarkan untuk kembali beraksi dalam perlawanan ketiga TM Piala Malaysia berdepan Sri Pahang FC, pada Sabtu ni.

Pengendalinya, Tomas Trucha mengesahkan dua pemain tersebut hanya menjalani latihan ringan dan masih belum kembali ke padang sepenuhnya bersama rakan sepasukan lain.

Namun, beberapa pemain lain dilihat akan terus menjadi pilihan utama Trucha bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan seperti Danial Ashraf, Latiff Suhaimi dan Ryuji Utomo menjelang pertembungan dengan Sri Pahang nanti.

Suad Harimau Kumbang dilihat beraksi tempang tanpa kudrat Khairu Azrin dan Vitor di benteng pertahanan apabila masing-masing diketepikan dalam dua perlawanan pertama Piala Malaysia seterusnya gagal meraih kemenangan setakat ini.

“Mereka berdua masih belum dapat berlatih bersama-sama pemain yang lain dan sekarang dalam program secara individu lagi untuk memastikan mereka betul-betul cergas sepenuhnya.

“Memang kita boleh katakan baik Khairu Azrin dan Vitor, kedua-duanya sentiasa dalam kesebelasan utama untuk perlawanan liga musim ini, tetapi sekarang saya masih lagi sedang berusaha untuk mencari pengganti yang terbaik bagi menggantikan posisi itu sementara menunggu mereka mampu untuk kembali beraksi.

“Secara jujurnya, saya masih memberi waktu kepada pemain-pemain yang jarang bermain untuk sentiasa mempersiapkan diri mereka bagi diturunkan dan mampu beraksi sebaik mungkin sekiranya diberi peluang”, jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Bercakap mengenai peluang pasukan, Trucha tidak menolak Penang FC mengharungi jalan berliku dalam saingan Piala Malaysia kali ini selepas ketiadaan beberapa tonggak utama dan memerlukan sokongan penyokong tidak berbelah bahagi dalam misi pasukan mara ke suku akhir.

“Kami sebenarnya masih belum pulih sepenuhnya daripada segi mental dan sebagainya selepas selesai Liga Super dan itu membuatkan kami belum bersedia 100 peratus lagi untuk Piala Malaysia.

“Untuk perlawanan persahabatan, sasaran kami adalah untuk tengok pemain-pemain terbaik yang masih ada untuk beraksi perlawanan akan datang.

“Pastinya kami akan terus berjuang untuk harungi peringkat kumpulan ini walaupun sebenarnya ada kekangan daripada segi kecederaan sekarang ini dan saya harap pemain-pemain yang ada dapat memberikan yang terbaik seperti mana yang mereka lakukan ketika dalam saingan liga”, jelasnya.

Penang FC yang berada dalam Kumpulan A kini di menghuni tangga ketiga selepas meraih satu mata manakala Sarawak United di tangga teratas dengan dua kemenangan diikuti Kuala Lumpur City dan Sri Pahang FC di kedudukan tercorot. – MalaysiaGazette