Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – PAS bersetuju konsep Keluarga Malaysia berteraskan keterangkuman dan kebersamaan diterapkan dalam pentadbiran kerajaan, seterusnya menjadi intipati utama pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 dan Bajet 2022.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu menerima konsep Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Islam bagi menjamin kestabilan negara seterusnya mengajak semua pihak menjayakannya demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“PAS menerima realiti kemajmukan kaum dan agama di Malaysia dengan memperkenalkan konsep adil untuk semua.

“Tiada paksaan dalam beragama dan wajib tolong-menolong antara satu sama lain di atas konsep perpaduan umat manusia yang merupakan satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata PAS melalui pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah berjaya membuktikan bahawa keadilan kepada semua telah direalisasikan melalui hak beragama, bermasyarakat dan berkebajikan yang dipelihara oleh kerajaan di bawah kepimpinan Islam. – BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.