Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi bersama timbalannya, Datuk Rosol Wahid (kiri) menunjukkan harga barangan basah selepas sidang media sidang media mengenai Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 barangan disenaraikan sebagai harga terkawal bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali yang akan diraikan 4 November ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan skim ini berkuatkuasa mulai 1 hingga 7 November iaitu selama tujuh hari melibatkan barangan utama semasa perayaan Deepavali.

“Tempoh pelaksanaan ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa iaitu suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

”Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam sidang media di Auditorium Tun Dr. Siti Hasmah, Menara SSM hari ini.

Barang yang disenaraikan dalam SHMMP ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super dan daging kambing biri-biri import bertulang.

Turut disenaraikan telur ayam gred A, B dan C, cili merah, tomato, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja) dan kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja).

Alexander berkata, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga.

Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan di 91 daerah di Semenanjung, 27 daerah di Sabah, 4 daerah di Sarawak dan sebuah daerah di  Labuan.

Pemantauan akan dilakukan oleh pegawai penguatkuasa KPDNHEP dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di lokasi tumpuan orang ramai dalam memastikan bekalan barangan mencukupi dan harga di pasaran berpatutan.

Peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Tambahnya, KPDNHEP mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan dengan lebih berkesan. – MalaysiaGazette