: Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan YB Dato’ Dr Razali bin Ab Malik, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Dato’ Azmir Merican, Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato’ Seri Hj. Aminuddin bin Harun dan Ketua Pegawai Operasi – Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property Ir. Mohd Sohimin bin Mohd Alayedin berbincang mengenai tata atur Hamilton City sewaktu majlis pecah tanah di Nilai, Negeri Sembilan.

KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) melancarkan Bandar Hamilton di Nilai, Negeri Sembilan bagi meneruskan komitmen syarikat dalam membangunkan koridor pertumbuhan baharu di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

Bandar Hamilton yang berkeluasan 2,723-ekar merupakan taman perindustrian terurus yang berfokuskan kepada aktiviti perindustrian sederhana dan berat, serta dibangunkan untuk meningkatkan kegiatan sosioekonomi di perbandaran tersebut.

MVV 2.0 merupakan kawasan ekonomi bersepadu yang melengkapkan pembangunan ‘Greater Kuala Lumpur’ dan ‘National Conurbation’, serta diiktiraf sebagai salah satu daripada 17 Zon Pembangunan Digalakkan yang diutamakan di bawah Pelan Fizikal Negara.

Dengan empat pemacu ekonomi iaitu Industri Berteknologi Tinggi; Pelancongan Kesihatan; Pendidikan dan Penyelidikan BerasaskanKemahiran; serta Perkhidmatan Khusus, MVV 2.0 meletakkan sasaran untuk menjadi pusatperindustrian bertaraf global.

Projek pembangunan Bandar Hamilton bakal menjadikan Negeri Sembilan sebuah bandar yang mampan menjelang tahun 2045.

Bandar Hamilton akan dibangunkan oleh Sime Darby Property menerusi empat fasa, dengan Fasa 1, 2 dan 4 difokuskan untuk aktiviti perindustrian sederhana dan berat.

Manakala Fasa 3 pula akan dibangunkan khusus untuk perindustrian ringan yang akan dilengkapkan dengan kilang berkembar dan separa berkembar siap dibina dan berkonsepkan taman perindustrian terurus.

Siri pembangunan industri bercampur ini bersesuaian dengan keperluan berbeza mengikut jenis perniagaan, serta mampu untuk membangunkan komuniti
berasaskan industri.

Pembangunan ini juga dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi 740,000 penduduk yang menetap di kawasan sekitarnya.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, lokasi Bandar Hamilton yang strategik di Nilai menjadikan perbandaran tersebut sebagai lokasi perusahaan atau pergudangan yang menarik dan dilengkapi akses kepada infrastruktur penting seperti jaringan lebuh raya bagi perniagaan-perniagaan yang mencari alternatif di luar Lembah Klang.

”Pelancaran Bandar Hamilton memajukan rancangan pertumbuhan strategik Sime Darby Property untuk menjadi sebuah syarikat pembangunan hartanah bersepadu menjelang 2025,” katanya. – MalaysiaGazette