GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk menyegerakan pembentukan undang-undang menghapuskan penggunaan plumbum dalam cat. 

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pembentukan undang-undang itu perlu kerana plumbum adalah racun terkumpul yang menjejaskan pelbagai sistem tubuh serta amat berbahaya terutama kepada kanak-kanak dan wanita hamil.

Jelas beliau, terdapat usaha Jabatan Standard Malaysia baru-baru ini memasukkan spesifikasi dalam piawaian dalam rumusan cat tertentu tidak mengandungi plumbum.

“Bagaimanpun, piawaian ini adalah secara sukarela dan tidak meliputi semua jenis cat di pasaran.

“Terdapat beberapa usaha yang diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada akhir 2020 bagi mengeluarkan piawaian mandatori untuk plumbum dalam cat.

“Difahamkan pihak kementerian sedang dalam proses membuat peraturan dan ia dijangka berkuatkuasa lewat tahun depan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Mohideen, berdasarkan kajian CAP pada tahun lalu mendapati sebanyak 12 daripada 48 sampel cat yang diuji mengandungi plumbum melebihi 10,000 bahagian per sejuta (bps).

“Manakala analisis CAP pada 2019 mendapati, sebanyak 11 daripada 17 peralatan taman permainan mempunyai paras plumbum tinggi berbahaya melebihi 10,000 bps.

“Kini cat berplumbum merupakan sumber pendedahan berterusan di banyak negara malah menurut laporan Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME), pendedahan kepada plumbum menyebabkan 900,000 kematian pada 2019,” kata beliau. – MalaysiaGazette