Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan DAP menegaskan pihaknya tidak akan membayar sebarang tuntutan kepada Kerajaan Kedah berhubung bayaran pajakan negeri tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut menegaskan Kerajaan Persekutuan juga tidak perlu melayan sebarang tuntutan daripada negeri jelapang padi itu yang luar daripada perjanjian dan persetujuan sedia ada.

“Kita tidak akan bayar apa-apa kepada Kedah dan kerajaan Persekutuan juga tidak perlu melayan tuntutan mereka,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Kerajaan Negeri Kedah menuntut bayaran RM100 juta setahun daripada kerajaan persekutuan sebagai “bayaran pajakan” tanah di Pulau Pinang.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bayaran RM10 juta oleh Putrajaya bagi pihak Pulau Pinang ketika ini harus dikaji semula.

Sebaliknya, beliau menuntut bayaran RM100 juta setahun daripada kerajaan persekutuan sebagai “bayaran pajakan” tanah di Pulau Pinang.

“Ini adalah jumlah yang kecil untuk Kerajaan Persekutuan dan saya percaya Pulau Pinang mempunyai hasil yang tinggi,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman Alor Setar, hari ini.

Pada zaman penjajahan, Pulau Pinang telah dipajakkan oleh kesultanan Kedah kepada British pada tahun 1791 dengan harga 10,000 dolar Sepanyol.

Bayaran berkenaan adalah untuk pajakan tanah di pulau dan Seberang Perai di negeri itu.

Hampir berdekad sebelum ini, Kerajaan Persekutuan membayar RM10,000 kepada Kedah bagi pihak Pulau Pinang sebagai bayaran pajakan, tetapi ia dinaikkan kepada RM10 juta setahun sejak 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast