Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang pemandu forklift kerugian RM4,380 setelah diperdaya dalam sindiket pinjaman tidak wujud selepas menerima telefon kelmarin.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa dia telah dihubungi oleh individu yang mengaku penasihat kewangan dari bank tersohor dan menawarkan pinjaman.

Mangsa yang berminat dengan tawaran itu ditawarkan pinjaman sebanyak RM30,000 dan bayaran balik RM404.14 sebulan dengan tempoh tujuh tahun.

“Pengadu telah memberikan dokumen peribadi pengadu seperti slip gaji tiga bulan, kad pengenalan, penyata KWSP selama dua tahun.

“Pemanggil juga meminta pengadu untuk membuat pembayaran wang bagi proses pinjaman wang ke dalam nombor akaun yang diberikan.

“Pada 25 dan 26 Oktober, pengadu telah membuat empat kali transaksi dari akaun simpanan miliknya ke dalam dua akaun yang berbeza berjumlah RM4,380 untuk proses pembayaran pinjaman.

“Kemudian, pemanggil masih meminta pengadu memasukkan wang sebanyak RM1,212.42 sebagai bayaran pinjaman tiga bulan, menyebabkan pengadu mula berasa curiga dan enggan membuat pembayaran,” katanya menerusi kenyataan.

Pengadu yang membuat semakan dibuat kepada pihak bank mendapati pinjaman tersebut adalah palsu.

Pengadu yang rasa telah diperdaya membuat laporan polis.

Kata Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette