Seorang penduduk, Tan Chin Hwi memotong ikan masin kurau untuk dijual kepada pembeli ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Kampung Nelayan Air Masin Kukup, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2019.

PARIT BUNTAR – Teknologi moden mengeringkan ikan masin dimanfaatkan sepenuhnya seorang pengusaha bagi meningkatkan tahap kebersihan produk dan meningkatkan pengeluaran.

Pengusaha ikan masin Muhammad Asri Dahali, 46, berkata, kaedah teknologi pengeringan Rumah Haba Pintar i-SunDryer mula digunakan sejak tiga bulan lepas bagi menggantikan sistem konvensional menjemur secara terbuka di bawah cahaya matahari.

Beliau berkata, kaedah pengeringan secara tradisional itu menghadapi pelbagai cabaran dari segi faktor cuaca seperti hujan, selain dihinggapi lalat dan serangga lain.

“Dengan adanya teknologi dilengkapi dengan sistem Internet benda (IOT) yang diperkenalkan oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang ini, dapat mengatasi masalah utama semasa proses pengeringan dari segi faktor perubahan cuaca serta ancaman serangga.

“Selain itu, kaedah Rumah Haba Pintar i-SunDryer ini juga lebih menjamin kebersihan produk yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Baharu Tengah, Tanjung Piandang, hari ini.

Muhammad Asri berkata, kaedah i-SunDryer itu turut menjimatkan masa proses pengeringan antara dua hingga tiga jam, berbanding kaedah menjemur yang mengambil masa setengah hari hingga dua hari  bergantung kepada faktor cuaca.

Produk tersebut juga menurutnya, mengatasi masalah kadar pengeringan produk yang tidak seragam dan tidak mencapai kualiti yang dikehendaki.

Bagaimanapun, katanya, antara cabaran dihadapi kini adalah mendapatkan bekalan ketika musim tengkujuh ekoran nelayan tempatan kurang turun ke laut.

Muhammad Asri berkata, antara produk ikan kering yang dikeluarkan ialah ikan gelama, belanak masam, ikan talang kering serta cili kering.

Teknologi pengeringan itu, menurutnya, membantu menghasilkan antara satu hingga tiga tan ikan kering dalam sebulan, berbanding satu hingga 1.5 tan sebulan menggunakan kaedah konvensional.

Katanya, produk hilirannya itu dipasarkan menerusi platform digital media sosial selain dipasarkan di premis di sekitar Kuala Kangsar, Daerah Kerian dan di Pulau Pinang.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Pulau Pinang, Dr Hamid Yusoff berkata, teknologi mesra alam Rumah Haba Pintar i-SunDryer diperkenalkan kepada pemain-pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi meningkatkan hasil produk mereka dari segi kualiti dan kebersihan.

“Hasil pengeluaran produk juga dapat dilipatgandakan berbanding kaedah konvensional, di samping produk bermusim sentiasa dapat diperoleh walaupun pada musim tengkujuh,” katanya dan menambah penimbang IOT merupakan indikator utama bagi memudahkan pengusaha memantau kadar pengeringan lebih tepat dan sekata,” katanya.

Beliau berkata, reka bentuk lantai tempat pengeringan itu juga menggunakan bahan khusus untuk menyimpan tenaga dan mengeluarkan haba pada waktu malam, sekali gus membezakan rumah haba i-SunDryer dengan rumah haba yang lain.

“Dengan adanya rumah haba i-SunDryer yang lengkap dengan IOT, dengan suhu mencapai lebih dari 70 darjah Celcius pada waktu siang dan 30 darjah Celcius di tengah malam, segala masalah yang wujud sebelum ini dapat diatasi,” katanya. – Bernama