Datuk Ser Hishammudin Tun Hussein ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia bakal memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan menyeluruh pada awal tahun depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MoU tersebut akan menjadi yang pertama di antara kedua-dua negara dalam menumpukan kerjasama pertahanan.

Katanya, perkara tersebut antara dipersetujui ketika beliau bermesyuarat bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto yang mengadakan lawatan kerja ke Malaysia, hari ini.

Menurutnya, Malaysia dan Indonesia bertekad untuk terus memelihara hubungan dua hala yang sedia akrab sejak sekian lama terutama dari sudut keselamatan.

Kata Hishammuddin, turut disuarakan kedua-dua negara pada hari ini adalah komitmen untuk meningkatkan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Jelas beliau, kerjasama ini adalah demi memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia, terutamanya menerusi pengoperasian Pos-Pos Gabungan.

“Buat masa ini, operasi gabungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan TNI adalah di 6 penempatan Pos Gabungan yang tertumpu di sempadan Sarawak Kalimantan.

“Kami juga bersetuju untuk meneruskan latihan bersama antara angkatan tentera negara masing-masing dalam usaha menangani ancaman pengganas iaitu melalui LATGABMA MALINDO DARSASA yang akan diadakan pada tahun
hadapan di Malaysia.

“Latihan bersama ini akan melibatkan kerjasama ketigatiga cabang perkhidmatan dari angkatan tentera serta pasukan polis kedua-dua negara,” katanya menerusi kenyataan.

Kata beliau lagi, Malaysia dan Indonesia juga bersetuju mengadakan mesyuarat General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) pada Febuari 2022.

Ujarnya, mesyuarat tersebut penting untuk membincangkan usaha-usaha memperkukuh keselamatan sempadan antara negara.

Menurut Hishammuddin, Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi GBC Malindo ke-42 tahun hadapan.

“Kali terakhir mesyuarat ini diadakan ialah pada tahun 2018,” katanya.

Selain itu, kedua-dua Menteri Pertahanan tersebut turut membincangkan inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA).

“Kami saling menzahirkan penghargaan atas komitmen penuh angkatan tentera masing-masing dalam menjayakan TCA melalui rondaan udara dan maritim. Namun pada masa yang sama, kami juga bersetuju bahawa inisiatif ini masih mempunyai ruang yang boleh ditambah baik demi menangani ancaman di Laut Sulu dan Sulawesi,” tambah beliau.

Turut disentuh oleh dua menteri berkenaan, mengenai ADMM Retreat yang dijangka diadakan bulan depan dengan dipengerusikan Brunei Darussalam sebagai negara Pengerusi ASEAN dengan tema “The Future of ADMM”, yang dilihat akan menjadi platform penting membincangkan usaha kerjasama pertahanan serantau antara negara ASEAN.

Hishammuddin turut menyuarakan kebimbangannya terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat atau AUKUS kepada Prabowo.

“Sebagai negara ASEAN, Malaysia dan Indonesia harus bersama-sama memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Semua pihak harus hindari sebarang tindakan ketenteraan yang provokatif atau berpotensi tingkatkan ketegangan serta cetuskan konflik di Laut China Selatan. Sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian perlu ditangani, konsisten dan jelas menerusi dialog dan rundingan,” Hishammuddin berkata.

Terdahulu, Prabowo turut mengadakan kunjungan hormat menemui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -MalaysiaGazette